“Jiu Jitsu is the vehicle. Not the road.” ― Chris Matakas, My Mastery: Learning to Live through Jiu Jitsu

19 Jun 2017, Isnin

 

BERKORBAN apa sahaja. Itulah dilakukan barisan pesilat negara yang terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana bakal 'bertapa' selama tiga minggu di kawasan pergunungan Da Lat, Vietnam bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad silat negara, Nasri Nasir berkata kesemua atlet itu telah berlepas semalam ke Vietnam bagi memastikan fokus mereka pada sesi latihan tidak terganggu terutamanya mengingati sambutan hari raya bersama keluarga masing-masing.

"Ini latihan intensif terakhir sebelum Sukan SEA. Atlet pun sudah dimaklumkan perkara ini sejak awal-awal lagi, jadi saya yakin mereka akan memberikan fokus pada latihan di Vietnam nanti," katanya kepada Bernama.

 

Nasri yang dinobatkan Jurulatih Lelaki Kebangsaan 2015, berkata sepanjang berada di Vietnam, latihan fizikal dan taktikal akan ditekankan dalam kalangan pesilat negara memandangkan cabaran pada Sukan SEA kali ini dijangka sengit.

 

Beliau memaklumkan sekembalinya dari Vietnam pada 7 Julai ini, skuad silat negara akan menjalani kem motivasi di Gunung Ledang, Johor selama lima hari sebelum meneruskan sesi latihan di Cameron Highlands, Pahang bagi tempoh 10 hari.

Mengenai sasaran lapan pingat emas yang diletakkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pada Sukan SEA 2017, Nasri yakin ia boleh dicapai selepas melihat komitmen yang dipamerkan barisan pesilat negara sama ada semasa latihan mahupun pertandingan sebelum ini.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan pesilat negara supaya tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan terutamanya Indonesia,Vietnam dan Thailand yang dijangka memberi saingan sengit kepada Malaysia pada Sukan SEA nanti.

"Kekuatan pesilat kita untuk mencapai sasaran lapan pingat itu munasabah jika dilihat pada prestasi pesilat kita di mana pada Kejohanan pra Sukan SEA awal tahun ini, kita berjaya meraih sembilan pingat emas.

"Walaupun prospek pingat emas lebih diletakkan kepada dua juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, saya lihat pesilat lain turut berpeluang meraih emas," katanya.

Acara pencak silat pada Sukan SEA 2017 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 24 hingga 29 Ogos.

Senarai 26 pesilat ke Sukan SEA 2017:

Putera:

Mastafa Fitri Bun Masjuri, Muhammad Faizul Mohd Nasir, Mohamad Zarish Hakim Shukor, Razak Ghazli, Mohd Al-Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid, Mohamed Khusairy Azhar, Muhammad Robial Sobri, Ahmad Badrirullah Rahmat, Mohd Khaizul Yaacob, Muhammad Afifi Nordin

Mohd Taqiyuddin Hamid, Rosli Mohd Sharif, Mohd Faiz Abdul Malek, Muhammad Syafiq Ibrahim, Sazzlan Yuga.

Puteri:

Nurul Annisa Mohd Sobri, Siti Humairah Kasidin, Siti Shazwana Ajak, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Nur Atikah Alias, Nor Hamizah Abu Hassan, Nur Syazreen Abdul Malik, Nuraisyah Shamshul Bahrin, Wan Nur Shela Muntaha, Siti Farah Hanin Samsuddin. - Bernama

 

Sources : http://www.sinarharian.com.my/sukan/pesilat-negara-korban-syawal-demi-sukan-sea-2017-1.691860

Published in Silat

20 Mei 2016,Jumaat

ATLET silat negara mempamerkan prestasi cemerlang di Eropah menerusi kejayaan meraih lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa untuk bergelar juara keseluruhan Kejohanan Silat Terbuka Belgium, kelmarin.

 

Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan kejuaraan untuk kali keempat berturut-turut selepas mengetepikan pasukan tuan rumah serta skuad pencabar terdekat dari Asia Tenggara, Indonesia.

 

Terdahulu, Malaysia merangkul kejuaraan pada 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2014, manakala pada tahun 2012, pasukan negara kecundang apabila Indonesia dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

 

Pesilat kategori Putera, Mohd. Al Jufferi Jamari dan Mohd. Fauzi Khalid serta Siti Rahmah Mohamed Nasir (Puteri) masing-masing menghadiahkan satu pingat emas.

 

Seorang lagi atlet silat Puteri, Siti Humairah Kasidin pula sekadar meraih pingat gangsa selepas ditewaskan pesilat Thailand.

 

Pengurus skuad negara, Datuk Osman Nok berkata, pencapaian itu amat memberangsangkan kerana kejohanan tersebut turut menyenaraikan pesilat Thailand dan Indonesia.

 

“Kita telah melakukan persediaan rapi selama empat bulan sebelum kejohanan. Sudah pasti ia bukan tugas mudah kerana kejohanan ini dihadiri pasukan dari Eropah dan Asia Tenggara.

 

“Bagaimanapun, kita bangga dapat mempertahankan kejuaraan selepas menghadapi saingan hebat daripada pesilat negara lain, sekali gus menjadi kejayaan ketujuh bagi tahun ini.

 

“Pesilat negara telah menunjukkan semangat tinggi bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang terutama Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Seramai 111 pesilat dari 13 negara termasuk Algeria, Belanda, Jerman, Austria, Switzerland, United Kingdom, dan Perancis beraksi pada kejohanan selama tiga hari tersebut.

 



Published in Silat