"I practice martial arts not to win over other people but to win over my own heart." Tony Jaa
Thursday, 20 July 2017 00:00

Seni silat pupuk perasaan berani

Khamis, 20 Julai 2017

 

KUALA LUMPUR: Keterujaan terhadap seni mempertahankan diri yang dianggap penting dipelajari ketika berhadapan serangan musuh, menyebabkan Normanjalina Madon, 25, sanggup 'curi-curi' berlatih selepas ayahnya tidak memberi keizinan.

 

Beliau berkata, keinginan mahu mengikuti latihan silat yang diadakan ahli Pertubuhan Silat Lincah Malaysia di gelanggang kawasan perumahan pangsapuri didiaminya di Bandar Tasik Selatan, semakin berkobar-kobar apabila melihat gerakan cantik dipersembahkan mereka.

 

Minat mendalam itu juga membuatkan beliau yang ketika itu berumur 12 tahun, sanggup berdiri di koridor rumahnya di tingkat dua dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam setiap Jumaat dan Sabtu, semata-mata mahu melihat latihan diadakan ahli persatuan terbabit.

 

"Dua bulan menjadi penonton setia, saya memberanikan diri turun dan menyatakan keinginan kepada jurulatih persatuan ini untuk menyertai latihan, beliau menerima saya dengan hati terbuka.

 

"Saya berlatih di gelanggang tanpa pengetahuan ayah, namun selepas dua tahun, akhirnya ayah ternampak saya sedang berlatih.

 

"Saya bersyukur kerana ayah tidak marah apabila jurulatih berbincang dengannya supaya merestui minat saya," katanya ketika dihubungi, BH Varsiti baru-baru ini.

 

Keistimewaan seni silat

 

Normanjalina berkata, selepas melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM), beliau meneruskan pembabitan dalam seni mempertahankan diri itu dengan menyertai Pertubuhan Seni Silat Gayung UM.

 

Berkongsi keistimewaan silat, katanya, seni itu dianggapnya cukup indah kerana mempersembahkan gerakan cantik, nampak hebat dan memupuk perasaan berani ketika berdepan lawan.

 

Berkaitan pembahagian masa antara pembabitan dalam silat dan pelajaran, Normanjalina berkata, beliau sentiasa memastikan komitmen di antara kedua-dua bidang dicintainya itu berjalan seimbang.

 

"Ketika berlatih di gelanggang, saya akan memberikan fokus penuh bagi memperbaiki pencapaian, memperkukuhkan kemahiran dan bersedia untuk pertandingan.

 

"Selepas latihan atau pertandingan, tumpuan saya disasarkan kepada aktiviti pembelajaran dan kuliah supaya dapat menguasai akademik dengan baik," katanya.

 

Profil

Nama: Normanjalina Madon

Tarikh lahir: 22 Mei 1992

Tempat lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur

Adik-beradik: Sulung daripada 10 beradik

Hobi: Futsal, Bola Sepak, Hoki dan Bola Baling

Pendidikan: Diploma Kaunseling dan Psikologi UM

Sukan: Silat (Kategori Putri B: 50 - 55 kilogram)

Prinsip: Selangkah masuk ke gelanggang, tidak akan berundur dan tidak akan kalah dengan sendiri

 

Pencapaian:

Pingat Emas pada Kejuaraan Pencak Silat UPSI dan Jemputan Antarabangsa 2017

Pingat Emas (Pesilat Terbaik) pada Kejohanan Silat Terbuka Institusi Pengajian Tinggi Negeri Perak 2016

Pingat Perak pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 di Perak

Pingat Emas pada Majlis Sukan Universiti Malaysia 2015

Pingat Emas (Pesilat Terbaik) Institusi Pengajian Tinggi Tempatan di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-6 2015

Emas (Pesilat Terbaik Terbuka Putri) pada Kejohanan Silat Olahraga Berpasukan Seni Mempertahankan Diri di Pahang 2014

Pingat Emas pada Sukan Malaysia di Pahang 2012

Kejohanan Silat Kebangsaan 2012 di Perak

Pingat Emas pada Festival Sukan Kombat Universiti Pendidikan Sukan Idris (UPSI) 2011

Pingat Emas pada Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri Kebangsaan 2008-2009

Pingat Emas (Pesilat Terbaik Puteri Antarabangsa) di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-8

Pingat Emas (Pesilat Terbaik) Kejohanan Pencak Silat Institusi Pengajian Tinggi Piala Timbalan Naib Canselor UM

Jurulatih Pertubuhan Silat Lincah Malaysia di Bandar Tasik Selatan

 

Sources : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/07/303942/seni-silat-pupuk-perasaan-berani

Published in Articles