"I practice martial arts not to win over other people but to win over my own heart." Tony Jaa

19 Jun 2017, Isnin

 

BERKORBAN apa sahaja. Itulah dilakukan barisan pesilat negara yang terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana bakal 'bertapa' selama tiga minggu di kawasan pergunungan Da Lat, Vietnam bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad silat negara, Nasri Nasir berkata kesemua atlet itu telah berlepas semalam ke Vietnam bagi memastikan fokus mereka pada sesi latihan tidak terganggu terutamanya mengingati sambutan hari raya bersama keluarga masing-masing.

"Ini latihan intensif terakhir sebelum Sukan SEA. Atlet pun sudah dimaklumkan perkara ini sejak awal-awal lagi, jadi saya yakin mereka akan memberikan fokus pada latihan di Vietnam nanti," katanya kepada Bernama.

 

Nasri yang dinobatkan Jurulatih Lelaki Kebangsaan 2015, berkata sepanjang berada di Vietnam, latihan fizikal dan taktikal akan ditekankan dalam kalangan pesilat negara memandangkan cabaran pada Sukan SEA kali ini dijangka sengit.

 

Beliau memaklumkan sekembalinya dari Vietnam pada 7 Julai ini, skuad silat negara akan menjalani kem motivasi di Gunung Ledang, Johor selama lima hari sebelum meneruskan sesi latihan di Cameron Highlands, Pahang bagi tempoh 10 hari.

Mengenai sasaran lapan pingat emas yang diletakkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pada Sukan SEA 2017, Nasri yakin ia boleh dicapai selepas melihat komitmen yang dipamerkan barisan pesilat negara sama ada semasa latihan mahupun pertandingan sebelum ini.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan pesilat negara supaya tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan terutamanya Indonesia,Vietnam dan Thailand yang dijangka memberi saingan sengit kepada Malaysia pada Sukan SEA nanti.

"Kekuatan pesilat kita untuk mencapai sasaran lapan pingat itu munasabah jika dilihat pada prestasi pesilat kita di mana pada Kejohanan pra Sukan SEA awal tahun ini, kita berjaya meraih sembilan pingat emas.

"Walaupun prospek pingat emas lebih diletakkan kepada dua juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, saya lihat pesilat lain turut berpeluang meraih emas," katanya.

Acara pencak silat pada Sukan SEA 2017 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 24 hingga 29 Ogos.

Senarai 26 pesilat ke Sukan SEA 2017:

Putera:

Mastafa Fitri Bun Masjuri, Muhammad Faizul Mohd Nasir, Mohamad Zarish Hakim Shukor, Razak Ghazli, Mohd Al-Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid, Mohamed Khusairy Azhar, Muhammad Robial Sobri, Ahmad Badrirullah Rahmat, Mohd Khaizul Yaacob, Muhammad Afifi Nordin

Mohd Taqiyuddin Hamid, Rosli Mohd Sharif, Mohd Faiz Abdul Malek, Muhammad Syafiq Ibrahim, Sazzlan Yuga.

Puteri:

Nurul Annisa Mohd Sobri, Siti Humairah Kasidin, Siti Shazwana Ajak, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Nur Atikah Alias, Nor Hamizah Abu Hassan, Nur Syazreen Abdul Malik, Nuraisyah Shamshul Bahrin, Wan Nur Shela Muntaha, Siti Farah Hanin Samsuddin. - Bernama

 

Sources : http://www.sinarharian.com.my/sukan/pesilat-negara-korban-syawal-demi-sukan-sea-2017-1.691860

Published in Silat
Wednesday, 28 September 2016 00:00

Pesilat Cina curi tumpuan

Rabu, 28 September 2016

 

Batu Pahat: Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri terus mencuri tumpuan di hari kedua apabila menyaksikan beberapa pesilat berbangsa Cina mula menunjukkan taring mereka di Square One Shopping Mall, di sini semalam.

Silat yang lebih sinonim dengan masyarakat Melayu kini tampil berbeza selepas pesilat Politeknik Shah Alam, Goh Weh Hai (gambar) yang bertanding dalam acara tanding putera kategori B bawah 50 kg (kilogram) mengakui bersedia mencabar pesilat lain.

“Saya memang meminati silat sejak kecil kerana tertarik dengan kesenian langkahnya. Saya mula menyertai pasukan silat sejak mendaftar di Politeknik Shah Alam.

“Saya menjalani latihan tiga bulan sebelum bertanding pada kejohanan kali ini dan bersedia membuat kejutan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi Loh Yong Kang yang mewakili Universiti Malaysia Pahang (UMP), dia berkongsi rasa gembira kerana dapat menyertai kejohanan itu dan berharap mampu menyerlah pada penyertaan pertamanya.

“Saya dapat pengalaman baru apabila turun beraksi menentang pesilat lebih berpengalaman yang juga pemenang pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG) walaupun persiapan kali ini agak singkat,” katanya yang bertanding dalam acara tanding putera bawah 70kg.

Menurut Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangkap penasihat kejohanan, Hazally Jali, pertandingan itu antara medium terbaik bagi mencungkil bakat baru terutama bangsa berbeza untuk diketengahkan bagi mewakili negara di kejohanan antarabangsa yang lebih besar selepas ini.

“Saya yakin kejohanan ini mampu mencapai matlamat dalam melahirkan atlet silat kebangsaan. Kejayaan ini hasil kerjasama erat KPT bersama UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) serta dibantu PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia),” kata Hazally.

 

Sources : http://www.hmetro.com.my/node/169786

Published in Silat
Wednesday, 20 April 2016 00:00

Akademi Silat Pendekar Muda berjaya

20 April 2016, Wednesday

 

PUTRAJAYA 19 April – Rancangan berbentuk realiti seni bela diri, Akademi Silat Pendekar Muda berjaya menarik perhatian peminat di seluruh negara apabila mencatatkan jumlah rating yang tinggi antara 700,000 hingga satu juta penonton untuk setiap episod sejak program itu mula bersiaran pada 9 Mac lalu.

Program realiti tersebut yang ditayangkan di stesen TV AlHijrah merupakan sebuah rancangan baharu yang diterbitkan dengan kerjasama antara Pertubuhan Daie Muda (PDM) bersama Kementerian Belia dan Sukan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Majlis Sukan Negara. Menurut Pengarah Eksekutif PDM, Azmir Yuzaimi Mohd. Yunos, sejak program itu bersiaran, pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif daripada penonton yang berasa bangga apabila seni bela diri masyarakat Melayu diangkat dan dimartabatkan selari dengan syariat Islam.

“Selain penonton dari seluruh negara, rancangan ini juga mendapat jumlah tontonan yang tinggi daripada peminat seni silat dari negara jiran, Singapura sehingga mencecah angka 150,000 penonton untuk setiap episod. “Malah, episod pengenalan untuk program ini sahaja berjaya mencatatkan jumlah penonton yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak 300,000 orang iaitu satu jumlah yang sangat membanggakan bagi sesebuah rancangan baharu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke atas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi bersama peserta-peserta Akademi Silat Pendekar Muda di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Program tersebut yang menampilkan pesilat-pesilat dari seluruh negara dan ditayangkan selama 90 minit pada setiap hari Rabu ditaja oleh Kopi Pak Pelalang keluaran Classic Worlwide Corporation (M) Sdn. Bhd. (CWC) manakala, Utusan Malaysia serta TV AlHijrah sebagai media rasmi. Dalam pada itu, Azmir Yuzaimi berkata, lebih membanggakan apabila rancangan tersebut bukan sahaja ditonton menerusi saluran televisyen tetapi turut ditonton secara atas talian sehingga setiap episod mencecah 400,000 penonton. Sementara itu, Ab. Aziz berharap program tersebut dapat membawa dimensi baharu kepada seni bela diri Melayu dan menarik minat semua golongan umur untuk menyertainya. Beliau berkata, dalam era mo­den, seni silat bukan sahaja untuk mempertahankan diri tetapi perlu dikembangkan dan menjadi program berbentuk kesenian untuk tontonan semua pihak.

"Saya berharap seni silat dapat diselitkan unsur-unsur kesenian seperti tarian naga masyarakat Cina dan dilakukan secara lebih kreatif supaya dapat menjana pendapatan daripadanya. “Pada masa sama, seni silat masa kini juga perlu ditambah nilai seperti penggunaan gendang perang dan sebagainya untuk tontonan masyarakat sebagai salah satu bentuk kesenian budaya masyarakat Melayu,” katanya.

 

Sources : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/i-akademi-silat-pendekar-muda-i-berjaya-1.277826

Published in Silat
Friday, 13 March 2015 00:00

Syarat ketat silat di sekolah

Jumaat, 13 Mac, 2015

Gombak: Kementerian Pendidikan Malaysia mengenakan syarat ketat yang perlu dipatuhi mana-mana perguruan silat yang mahu mengajar di sekolah bagi memastikan tidak ada unsur khurafat atau aktiviti memesong akidah dibawa perguruan silat berkenaan. Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Mohd Anuar Abdul Hamid berkata, peraturan ketat itu juga bagi mengelakkan jurulatih silat menyalahguna dan mengambil kesempatan mengambil yuran daripada murid dan pelajar tanpa melakukan tanggungjawab mereka. Katanya, pihak sekolah juga perlu memastikan perguruan silat itu benar-benar sah dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berhak membatalkan lesen sekiranya tidak berpuas hati dengan khidmat mereka. “Apa yang menjadi keutamaan ialah kita mahu menjaga kebajikan dan keselamatan murid dan pelajar. Dalam soal ini, tidak semua jurulatih silat datang mengajar kerana ada yang dikesan mengambil kesempatan seperti mengutip yuran walaupun gagal datang mengajar mengikut jadual mereka. “Itu sebabnya kita kenakan peraturan dan kementerian amat berhati-hati dalam perkara ini. Perlu dipastikan mana-mana perguruan silat yang mahu mengajar di sekolah perlu berdaftar dengan ROS dan perlu dibuktikan oleh perguruan mereka bahawa mereka layak mengajar sebagai jurulatih. “Kita juga tidak mahu ada elemen khurafat dan menjejaskan akidah murid dan pelajar dan selain itu kita juga mahu pastikan mereka yang belajar silat ini boleh masuk bertanding,” katanya selepas menyampaikan sijil penyertaan di Majlis Penutup Kursus Wasit Juri Tahap 3 Kebangsaan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Pusu, di sini, semalam. Hadir sama Pengetua SMK Sg Pusu Sajoli Masdor dan Yang Dipertua PESAKA Gombak Razlan Razali. Kursus itu membabitkan 12 gabungan silat di bawah daerah Gombak termasuk Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Pertubuhan Gerak Ilham Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayong Fatani Malaysia serta Persatuan Seni Silat Gerak Harimau Laksmana. Sementara itu, Mohd Anuar berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan pembabitan lebih banyak gabungan silat untuk membantu menggerakkan ilmu seni silat di peringkat sekolah dengan lebih giat lagi. “Kita mahu anak muda dipupuk dengan rasa cintakan seni silat sejak peringkat awal lagi dan apabila mereka sudah sebati adalah peranan gabungan silat ini untuk menyambut mereka. “Kita sudah menerima pembabitan gabungan silat dan mengalukan lebih banyak untuk membantu kerana bukan semua guru mempunyai kemahiran ini dan boleh menjadi jurulatih,” katanya

Sources: http://www.hmetro.com.my/node/34056

Published in Silat

14 Februari 2015 , Sabtu

 

KUALA LUMPUR – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) optimis untuk menjadi penyumbang terbesar pingat emas dalam Sukan Asia edisi 2018 di Indonesia ber­ikutan dengan kemungkinan sukan tersebut dipertandingkan dalam temasya itu nanti. Antara langkah pertama yang dilakukan oleh Pesaka untuk mereali­sasikan impian mereka itu, mereka telah mengadakan Bengkel Pemurnian dan Pembangunan Modul/Silibus Teknikal, Silat Seni dan Silat Olahraga selama tiga hari bermula semalam di ibu kota. Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, bengkel tersebut diadakan bertujuan menyera­gamkan modul pengajaran seni silat kepada negara baharu dalam sukan itu nanti. Jelasnya lagi, selepas mengadakan perbincangan bersama negara yang mengambil bahagian dalam sukan silat di peringkat antarabangsa di Thailand tiga minggu lalu, mereka sebulat suara untuk mendaftarkan silat sebagai salah satu acara dalam temasya Sukan Asia. “Kami berhasrat untuk menjadi penyumbang pingat emas terba­nyak buat negara dalam temasya Sukan Asia 2018. Meskipun status sukan tersebut masih dalam perbincangan namun kami yakin akan dipertandingkan, bukan sahaja untuk edisi 2018 namun akan dikekalkan. “Penyertaan silat dalam temasya tersebut semakin menjadi kenya­taan berikutan tuan rumah diberi kelebihan untuk memilih tiga sukan dipertandingkan. Indonesia sudah pasti berminat dengan silat. “Modul yang berlangsung selama tiga hari ini akan dijadikan tempat untuk menyiapkan kerangka silibus bagi proses pengajaran seni silat kepada negara yang berminat menyertainya,” katanya selepas merasmikan bengkel tersebut di sini semalam. Sementara itu, Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din memaklumkan sekiranya sukan silat diterima rakaman video akan digunakan dalam pro­ses membuat keputusan oleh wasit pertandingan sekiranya berlaku kekeliruan.

 

sources : http://www.utusan.com.my/sukan/silat-bakal-dipertandingkan-dalam-sukan-asia-2018-1.59209

Published in Silat
Saturday, 07 February 2015 00:00

Silat angkat martabat Melayu

07 Februari 2015 12:44 AM

Silat, ilmu mempertahankan diri merupakan warisan zaman berzaman dan jumlah pertubuhan itu setiap hari semakin bertambah sementara penuntutnya pula meningkat saban tahun. Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu menjadi legenda dalam dunia persilatan sementara pejuang-pejuang tanah air seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Mat Salleh dan yang lain menjadi inspirasi kepada para pengamal silat untuk memartabatkan warisan bangsa. Maka, tidak hairanlah kerajaan mengiktiraf ilmu persilatan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggelarkannya sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas barisan tentera dan polis. Advertisement Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, silat telah berkembang dan kini terdapat sekurang-kurangnya sebuah pertubuhan silat di 57 buah negara. “Saya boleh kata perkembangan seni mempertahankan diri orang Melayu ini begitu agresif dan ia sebenarnya merupakan hasil usaha pemimpin dan guru-guru silat di seluruh negara. “Kerajaan turut membantu dengan memberi sokongan dalam pelbagai bentuk melalui agensi-agensi tertentu termasuklah Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya kepada S2 baru-baru ini. Jelas beliau lagi, terdapat pelbagai usaha sedang giat dilakukan oleh Pesaka untuk meningkatkan lagi martabat silat serta menarik lebih ramai anak muda menyertainya. Advertisement “Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, jawatankuasa Pesaka dan pertubuhan-pertubuhan silat seluruh negara sedang giat mempromosi pertubuhan silat di seluruh negeri. “Usaha tersebut dijalankan melalui Pesaka cawangan negeri dan mencari mana-mana perguruan silat yang masih belum berdaftar agar segera dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) dengan KBS supaya dapat ditubuhkan sebuah persatuan dalam perguruan mereka. “Selain itu, untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai silat, kita juga menggalakkan setiap sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan institusi pendidikan lain supaya mewujudkan satu ekstra kurikulum khusus untuk silat di tempat mereka,” katanya. Megat Zulkarnain menambah, perancangan terkini Pesaka adalah mensasarkan silat dapat dipertandingkan ke peringkat Sukan Olimpik. “Selain mempertahankan diri, silat turut dijadikan sebahagian daripada sukan dan kini sudah pun dipertandingkan di peringkat Asia Tenggara dalam sukan SEA. “Akan datang, silat bakal mencatat sejarah apabila pertama kali dipertandingkan di peringkat yang lebih jauh iaitu dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia nanti. Ini boleh menjadi satu galakan kepada anak muda yang ingin menjadi atlet negara dalam sukan silat. “Jadi, secara tidak langsung ia dapat menarik golongan muda untuk menyertai silat, tambahan pula Pesaka kini dalam perancangan untuk menyasarkan silat dipertandingkan di peringkat lebih jauh,” jelasnya. Menyangkal dakwaan mengatakan silat semakin hilang pengaruh, Megat Zulkarnain berkata, silat sudah merantau ke merata dunia. “Baru-baru ini telah berlangsung sebuah pertandingan seni mempertahankan diri di Amsterdam, Belanda, justeru saya bersama Mohd Ali telah hadir menyaksikan perlawanan tersebut. “Apa yang mengejutkan kami ialah, begitu banyak penyertaan daripada pertubuhan silat dan rata-ratanya adalah anak muda dan seingat saya paling muda ialah peserta berusia enam tahun. “Jadi, itu bukti penyebaran budaya dan warisan orang Melayu di peringkat antarabangsa, kalau dahulu orang barat datang jajah kita, hari ini kita datang sana dan sebar pengaruh dalam bentuk budaya iaitu silat. “Justeru, kita akan terus berusaha menghidupkan silat sebab kalau orang Melayu sendiri yang melupakannya, tidak mustahil suatu hari nanti kita terpaksa belajar daripada orang Barat,” ujarnya.

 

sources : http://www.utusan.com.my/rencana/silat-angkat-martabat-melayu-1.56818

Published in Silat