"I see martial arts as moving forms of meditation. When you're sparring or drilling techniques, you can't think of anything else." Joe Rogan
Wednesday, 04 January 2017 00:00

Peninju muda ‘berguru’ di Thailand

Rate this item
(0 votes)
JUARA: Pratasarthee (tiga kanan) bersama gelaran kejuaraannya dan Sulaiman (empat kiri) serta pegawai jawatankuasa penganjur. JUARA: Pratasarthee (tiga kanan) bersama gelaran kejuaraannya dan Sulaiman (empat kiri) serta pegawai jawatankuasa penganjur. Ghaz Ghazali

January 4, 2017, Wednesday

 

KUCHING: Kejayaannya pada Kejuaraan Muaythai Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) di Kuala Lumpur menjadi penyuntik semangat kepada Pratasarthee Punniyamoorthy menjalani latihan insentif di Thailand tidak lama lagi.

Juara Pro Belt Kebangsaan 2015 itu mempamerkan aksi cemerlang dalam ‘Cabaran Tali Pinggang Kejuaran MSWP’ – antara empat yang dipertandingkan di Stadium Titiwangsa pada hujung minggu lalu.

Kejuaraan tersebut adalah anjuran Persatuan Muaythai Kuala Lumpur dengan kerjasama MSWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pratasarthee, 15, berjaya menumpaskan pesaing tuan rumah, Azim Red Army melalui kiraan mata setelah berhempas-pulas sepanjang lima pusingan.

“Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan selain berasa amat gembira dengan kemenangan ini.

Namun, saya sedar kejayaan ini datang bersama tanggungjawab untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Saya ingin menyatakan rasa terhutang budi kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang banyak menyokong dan berkorban untuk saya mencapai apa yang disasarkan selama ini dalam sukan muaythai,” kata pelajar SMK Pending itu di sini semalam.

Mengenai latihan di Thailand, Pratasarthee merakamkan penghargaan kepada Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) serta kelabnya, SS Fighters atas peluang tersebut.

“Sudah tentu saya ingin menimba sebanyak mungkin ilmu dan teknik-teknik perlawanan di negara kelahiran muaythai itu.

Ini merupakan peluang sangat bermakna buat diri saya,” katanya.

Pratasarthee, Ayu Arynafa’iza Azmi dan Shafiq Rushidi merupakan tiga orang atlet muaythai remaja tempatan terpilih menjalani latihan intensif di Thailand tahun ini.

Menurut PMNS, kriteria pemilihan ketiga-tiga atlet itu adalah berdasarkan pencapaian mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta potensi besar masingmasing dalam menyumbangkan pingat buat negara.

Timbalan Presiden PMNS, Sulaiman Salleh ketika dihubungi melahirkan rasa bangga atas kejayaan Pratasarthee di Kuala Lumpur lalu dan beliau mengingatkan anak didiknya supaya mengimbangi antara sukan dan pelajaran.

“Saya mahu Pratasarthee bijak membahagi masa.

Sememangnya kami (SS Fighters) sentiasa menyokong beliau dalam mana-mana kejohanan dan pada masa sama kami mahu beliau berjaya dalam pendidikan.

“Saya yakin Pratasarthee boleh melakukannya kerana beliau masih muda dan perjalanannya masih jauh,” kata Sulaiman yang juga pemilik SS Fighters Gym.

 

Sources : http://www.theborneopost.com/2017/01/04/peninju-muda-berguru-di-thailand/

Read 409 times
Login to post comments