"You haven't failed until you quit trying." Anonymous
Sunday, 13 March 2016 00:00

Hudson julang Piala TYT

Rate this item
(0 votes)
JUARA: Hudson muncul juara Kejohanan Muaythai Piala TYT 2016 menerima Piala Pusingan termasuk tali pinggang daripada Tun Abdul Taib (tiga kiri) sambil disaksikan (dari kiri) Jumaat, Talib dan Rodziah. JUARA: Hudson muncul juara Kejohanan Muaythai Piala TYT 2016 menerima Piala Pusingan termasuk tali pinggang daripada Tun Abdul Taib (tiga kiri) sambil disaksikan (dari kiri) Jumaat, Talib dan Rodziah. Abang Ismail Abang Su’ud

 

 

BINTULU: Hudson Kayan dinobatkan juara Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri 2016 edisi ketiga setelah menang tanpa bertanding berikutan lawannya, Mohd Zairul Nazizan Zaidil tidak dapat meneruskan pertarungan akibat kecederaan dialaminya pada perlawanan sebelumnya.

Gelaran diraih Hudson dari Muaythai Kenyalang Kuching itu melayakkannya membawa pulang hadiah piala pusingan, pingat serta tali pinggang utama kejohanan.

Kejuaraan Piala TYT itu pernah dirangkul oleh Shafilaludin Nordin selama dua tahun berturut-turut pada 2014 dan 2015.

Manakala Zairul dari SS Fighter Kuching turut menerima hadiah berupa pingat kejohanan itu yang dilangsungkan sejak 9 Mac lalu dan berakhir Ahad (13 Mac) di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Dalam pada itu, harapan Trevor Salang yang lebih dikenali ‘Trevor The Parang Salang’ dari Warrior Muaythai Miri Sarawak mengekalkan kejuaraan gagal apabila tewas kepada Randall RF Kadayum dari RF Slayer Sabah pada pertarungan Pro Jemputan Antarabangsa tiga pusingan.

Kejuaraan itu sekali gus melayakkan Randall membawa pulang hadiah piala dan pingat.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak serta ketua penasihat kejohanan Datuk Talib Zulpilip, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi, Timbalan Residen Bintulu, Richard Michael Abunawas serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Kejohanan itu merupakan anjuran BDA, PMNS, Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bintulu serta agensiagensi lain.

Seramai 60 petinju kategori jemputan amatur Borneo, 30 petinju Pro Piala Borneo, Pro Piala Pusingan TYT, Pro Jemputan Borneo dan antarabangsa menyertai kejohanan itu.

Pertarungan lima pusingan kategori Pro Remaja 52kg menyaksikan Muhd Sahrul Akmal Abdullah dari Persatuan Muaythai Kelantan menewaskan Shafiq Rushidi dari Muaythai Kenyalang Sarawak.

Diikuti pertarungan pro 70kg menyaksikan Mohd Eswandy Hassan (SS Fighter Sarawak) menewaskan Syaril Ekhsan Ramlan dari Persatuan Muaythai Kelantan.

Juara kategori pro remaja 43kg untuk tiga pusingan disandang Muhd Azhar Abdul Razak (SS Fighter Kuching) setelah menewaskan Mohd Firdaus (Daus Negro) dari Kelab Muaythai Phoenix Meranek Samarahan.

Sementara itu, Talib berkata sambutan terhadap kejohanan itu masih hebat melihat kepada kehadiran ramai penduduk yang menyaksikan sukan bertaraf antarabangsa tersebut.



Read 234 times
Login to post comments